ANTARA suspek yang ditahan dalam serbuan di rumah inap di Iskandar Puteri. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA suspek yang ditahan dalam serbuan di rumah inap di Iskandar Puteri. FOTO Ihsan Polis.
Omar Ahmad


SERAMAI 19 lelaki dan wanita ditahan kerana menyertai parti liar dalam dua serbuan berasingan di dua rumah inap (homestay) di Masai dan Iskandar Puteri pada Selasa serta Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang ditahan adalah 10 lelaki dan sembilan wanita termasuk lima warga Thailand berusia 18 hingga 30 tahun.

“Serbuan pertama dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada 1 pagi, Selasa lalu di rumah inap kawasan Masai.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki dan empat wanita berumur 18 hingga 23 tahun ditahan dipercayai mengadakan pesta liar serta melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, seorang daripada tujuh yang ditahan dalam serbuan pertama positif dadah jenis THC.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek bukan penghuni premis serta gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul.

“Sementara, serbuan kedua pada 2.15 pagi keesokan harinya di sebuah rumah inap di Iskandar Puteri, polis menahan tujuh lelaki dan lima warga Thailand yang kesemuanya positif jenis dadah methapethamine, AMP dan ketamin.

“Siasatan awal kesemua suspek bukan penghuni premis serta gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul. Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Ayob Khan berkata, lima suspek bukan warganegara disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan yang terbabit dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua suspek turut disiasat di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Kesemua suspek direman sehingga hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 12:07 PM