GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat penjawat awam antara 32 individu yang ditahan selepas dipercayai menyertai parti persendirian dalam serbuan di dua bilik hotel di Jalan Pinang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seramai 32 individu membabitkan 19 lelaki serta 13 wanita termasuk lapan warga asing dan empat penjawat awam berusia antara 20-an hingga 40-an yang dipercayai menyertai parti persendirian.

"Kami turut merampas satu paket dadah jenis ketamin dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati parti berkenaan dianjurkan penjawat awam terbabit yang menempah bilik hotel itu.

"Semakan mendapati bilik hotel berkenaan disewa oleh penjawat awam berkenaan pada harga RM500 hingga RM700 untuk aktiviti terbabit.

"Kebanyakan individu yang ditahan tidak bekerja selain ada di antara mereka yang juga warga asing adalah penuntut institut pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata, daripada 32 individu ditahan, 20 dikompaun RM2,000 setiap seorang, manakala lapan warga asing dan empat penjawat awam berkenaan disiasat mengikut dibuka Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana melakukan aktiviti sosial dan perhimpunan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan penemuan satu paket dadah di lokasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:07 PM