PENDUDUK Palestin mengusung jenazah Kamel. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mengusung jenazah Kamel. FOTO AFP
AFP

Ramallah: Seorang remaja Palestin meninggal dunia selepas ditembak oleh tentera rejim Israel di Tebing Barat, sehari sebelumnya, kata sumber perubatan Palestin.

Remaja berusia 17 tahun itu dikenali sebagai Kamel Alawnah oleh Kementerian Kesihatan Palestin mengatakan dia "meninggal dunia akibat tembakan langsung oleh penjajah (tentera Israel) di perut dan tangan, di Jenin".

Sumber perubatan Palestin memberitahu AFP, Kamel cedera di Jaba, sebuah kampung di wilayah Jenin di utara Tebing Barat.

Bagaimanapun, rejim Israel mendakwa dalam satu kenyataan pada Ahad, "seorang suspek melemparkan bom molotov" ke arah tenteranya berhampiran Jaba, pada Sabtu.

"Askar bertindak balas dengan tembakan langsung ke arah suspek," tambah tentera.

Seramai 49 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir Mac, di seluruh Israel dan wilayah Palestin.

Mereka termasuk wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terbunuh oleh tembakan tentera Israel ketika membuat liputan serbuan tentera di Jenin.

Dalam tempoh yang sama, 19 orang, majoriti penduduk awam Israel di dalam Israel terbunuh, terutamanya dalam serangan oleh rakyat Palestin.

Pasukan keselamatan Israel kini melakukan serbuan hampir setiap hari di Tebing Barat, termasuk di dalam dan sekitar Jenin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 10:40 AM