ANTARA ‘mat rempit’ yang ditahan kerana terbabit dengan perlumbaan haram ‘Rempit Raya’ di Kuala Perlis menggunakan motosikal yang diubahsuai. FOTO Aizar Sharif.
ANTARA ‘mat rempit’ yang ditahan kerana terbabit dengan perlumbaan haram ‘Rempit Raya’ di Kuala Perlis menggunakan motosikal yang diubahsuai. FOTO Aizar Sharif.
Aizat Sharif


Kangar: Seramai enam 'mat rempit' termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan kerana terbabit dalam lumba haram di Kuala Perlis, di sini semalam.

Mereka ditahan menerusi 'Ops Samseng Jalanan' dan 'Ops Rentas' yang dijalankan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, pada hari pertama Aidilfitri.

Ketua JSPT Perlis Deputi Superintendan Rosmizan Abdul Wahab berkata, ketika operasi berkenaan, pihaknya mengesan satu perlumbaan motosikal haram yang digelar 'Rempit Raya' berlangsung di pesisir pantai Kuala Perlis.

Katanya, perlumbaan itu dipercayai dilakukan pada hari pertama Aidilfitri setiap tahun yang mana pesertanya atau 'mat rempit' ini akan berlumba sambil memakai baju Melayu atau pakaian raya.

"Ada juga peserta dari Kedah datang ke Kuala Perlis untuk berlumba.

"Hasil pemantauan kita mendapati lebih 100 motosikal menyaksikan perlumbaan berkenaan yang diadakan secara haram," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan pihaknya berjaya mengesan enam 'mat rempit' yang dilihat sedang asyik berlumba sesama sendiri.

"Mereka didapati menggunakan laluan dari persimpangan lampu isyarat jalan pesisir pantai Kuala Perlis-Changlun di Kuala Perlis hingga persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis sejauh 1.8 kilometer sebagai trek lumba.

"Mereka akan berlumba selama lima atau enam pusingan di trek berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya tidak terus menahan pelumba haram berkenaan sebaliknya terus mengekori suspek sehingga di jalan susur keluar menuju ke Seriab yang mana kumpulan ini didapati sedang berteduh di bawah jejambat di jalan itu.

Katanya, ada di antara mereka cuba melarikan diri ketika ditahan, namun gagal selepas terlanggar sesama mereka.

"Selain itu, seorang 'mat rempit' sanggup datang dari Kampung Padang Perak di Mergong, Alor Setar dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas negeri ke Perlis semata-mata untuk menyertai perlumbaan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bertugas sebagai juruteknik dan berasal dari Alor Setar itu merentas negeri ke Perlis dengan melalui 'lorong tikus' di kawasan Sanglang.

"Berdasarkan siasatan, dia mengakui menggunakan laluan sempadan Perlis-Kedah di Sanglang yang mana terdapat laluan diletakkan penghadang konkrit sebagai hadangan rentas negeri kepada warga Kedah untuk ke Perlis.

"Namun, pada PKP kali ini, terdapat arahan yang memberi kelonggaran kepada penduduk yang menetap di kawasan Sanglang, Kedah untuk mendapatkan kemudahan kesihatan di klinik serta menghantar anak mereka yang bersekolah di kawasan sama di bahagian Perlis.

"Jadi, penghadang konkrit itu dialihkan sedikit sahaja hanya untuk memberi penduduk Sanglang, Kedah yang bermotosikal melaluinya, kita percaya suspek ini mengambil kesempatan itu dengan merentas negeri menggunakan laluan itu terus ke Kuala Perlis," katanya.

Rosmizan berkata, pihaknya merampas empat motosikal Yamaha 125Z dan dua Yamaha Y15 yang mana kesemua motosikal ini sudah diubahsuai secara tidak sah menerusi penggunaan ekzos, tayar serta plat nombor pendaftaran yang terlalu kecil bersaiz 'tag nama'.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala suspek 'mat rempit' yang merentas negeri itu pula turut dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 12:21 PM