GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM70,000 atau sembilan bulan penjara terhadap seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menerima wang dan perkhidmatan berjumlah RM60,000 tanpa balasan, pada Jun tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 60, selepas dia mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM55,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, manakala denda RM15,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pilihan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang yang disita berkenaan kes ini dilucuthak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tertuduh membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Sheikh Mokhsin sebagai seorang penjawat awam dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan, didakwa menerima perkhidmatan bernilai RM10,000 dan wang tunai berjumlah RM50,000 untuk dirinya.

Perkhidmatan dan wang itu diberikan pengarah syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan, Syed Omar Syed Mohamad, 58, tanpa balasan, yang mana tertuduh mengetahui Syed Omar mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi, Kedah dan di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini, antara 21 hingga 26 Jun 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd Shahrom Mohamad yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berbentuk denda tanpa penjara atas alasan anak guamnya sudah insaf dan membuat pengakuan salah tanpa paksaan.

"Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jasa anak guam yang berkhidmat selama 41 tahun dalam bidang ketenteraan yang pernah berkhidmat dalam misi United Nation Peacekeeping Operation di Iraq dan selaku Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina.

"Anak guam juga adalah sumber rezeki utama keluarga dan ketika ini, beliau masih menanggung isteri dan empat orang anaknya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Norhafizan Zakaria membantah hukuman berbentuk denda kerana mengambil kira faktor kekerapan penularan jenayah rasuah dalam masyarakat.

"Mitigasi tertuduh secara keseluruhan hanya bertumpu kepada kepentingan peribadi semata-mata. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada orang awam mengenai keseriusan jenayah rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:18 PM