Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500 oleh Mahkamah Khas Rasuah Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM6,000 daripada pemilik restoran tanpa balasan, dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan selepas menerima pengakuan tertuduh, Abdul Halim Alias, 59.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika ingkar membayar denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haresh Prakash Somiah memberitahu mahkamah Abdul Halim memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibuat terhadapnya, hari ini.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Tengkera didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki di pejabatnya pada 11 Ogos 2020 antara 5 petang hingga 6.15 petang.

Pertuduhan menyatakan Abdul Halim tahu lelaki itu mempunyai hubungan dalam kerja rasminya, oleh itu dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Pada awalnya tertuduh didakwa terhadap lima pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan berjumlah RM21,800 daripada pemilik restoran terbabit sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika mitigasi, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman denda ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan bertekad tidak mengulangi kesalahan yang didakwa pertama kali dilakukan sepanjang 41 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas kepentingan awam dan bagi mencerminkan kesalahan rasuah adalah serius dan tidak akan dikompromikan.

Katanya, tertuduh sebagai ketua balai seharusnya menunjukkan teladan murni kepada anggotanya dan masyarakat namun tidak menunaikan amanah diberikan kepadanya untuk menjaga keselamatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar selain membernarkan baki pertuduhan lain digugurkan selepas dipohon pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:09 PM