- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pegawai imigresen didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku menerima wang berjumlah RM15,000 bagi membantu melepaskan beberapa warga China dan Filipina di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2), tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusrazif Wan Yusoh, 42, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pindaan yang dibacakan ke atasnya dan memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima benda berharga iaitu deposit tunai dan pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM15,000 daripada Yuen Hon Loong, bagi pelepasan beberapa warga China dan seorang warga Filipina melalui Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan, klia 2, Sepang, Selangor.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank Berhad cawangan Putrajaya, Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya antara 28 Oktober dan 16 November 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Yusrazif yang ditahan dalam Op Selat memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya sudah insaf selain perlu menanggung isteri dan empat orang anak.

"Anak guam saya merupakan seorang daripada dua pegawai imigresen yang membantu pihak berkuasa untuk menjatuhkan sindiket cap palsu. Dia juga menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada orang awam.

"Hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan dilakukan dan sebagai amaran kepada masyarakat agar tidak membabitkan diri dengan rasuah," katanya.

Berdasarkan fakta kes, Yusrazif yang berkhidmat di Jabatan Imigresen sejak 12 Mac 2006 diberikan tugas antaranya untuk memantau pemeriksaan masuk dan keluar penumpang warganegara, penduduk tetap dan warganegara asing di kaunter pemeriksaan imigresen di klia 2.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh menerima senarai nama serta butiran pasport warga asing yang bermasalah kerana memasuki Malaysia menggunakan pasport terbang daripada Yuen.

Tertuduh kemudian membantu urusan pelepasan warga asing berkenaan untuk kembali ke negara asal dan sebagai balasan, Yuen akan membuat pembayaran kepada tertuduh secara pindahan wang dalam talian setiap kali bantuan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:36 PM