MUHAMMED Farhan Basheer (dua dari kiri) mengagihkan pek iftar kepada orang ramai dengan konsep pandu lalu. FOTO Mary Victoria Dass
MUHAMMED Farhan Basheer (dua dari kiri) mengagihkan pek iftar kepada orang ramai dengan konsep pandu lalu. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor membantu kira-kira 5,000 usahawan dalam fasa pemulihan perniagaan kesan pandemik Covid-19 dengan menawarkan khidmat nasihat.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, bantuan turut membabitkan menyalurkan maklumat berkaitan insentif disediakan kerajaan, maklumat berkaitan pinjaman, penyewaan premis dan kontrak perniagaan.

Beliau berkata, satu pasukan khas juga ditubuhkan bagi membantu usahawan serta menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan keusahawanan di peringkat negeri dan pusat.

Menurutnya, ia bagi memastikan tiada usahawan termasuk yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tercicir dalam program bantuan dilaksanakan.

"DPMM juga mewujudkan talian khas bagi membantu usahawan dari sudut perundangan dengan menghubungi 07-2236936," katanya ketika ditemui di program pengagihan juadah iftar percuma membabitkan 2,021 pek makanan di Kejos Auto Project di 2 Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Dato Onn di sini, hari ini.

Muhammed Farhan berkata, pek juadah Iftar berkenaan mengandungi roti John dan air sirap limau selasih diagihkan mulai 4 petang sehingga 7 malam.

"Kami turut menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga asnaf dan anak yatim di program yang bertujuan meringankan beban warga bandar raya ini ketika pandemik Covid-19," katanya.

Dalam pada itu Muhammed Farhan berkata, DPMM Johor turut berharap kerajaan mengambil kira kesan perit yang terpaksa ditanggung usahawan dan peniaga kecil sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 susulan penularan kes jangkitan yang kembali memuncak.

"Kami menyokong pelaksanaan PKP 3.0 namun ia perlu lebih efisyen dan mempunyai pelan sokongan yang sistematik bagi membantu usahawan yang pasti akan terkesan termasuk pekerja mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 7:06 PM