PENIAGA bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur mengemas barangan perniagaan, malam tadi susulan arahan ia ditutup selama dua hari pada 1 Mei dan 2 Mei ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
PENIAGA bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur mengemas barangan perniagaan, malam tadi susulan arahan ia ditutup selama dua hari pada 1 Mei dan 2 Mei ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan Bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Taman Setiawangsa beroperasi seperti biasa dengan menambah jumlah anggota penguat kuasa.

Menerusi satu kenyataan hari ini, DBKL merujuk kepada notis dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai kedua-dua bazar itu perlu ditutup mulai 1 Mei hingga 2 Mei 2021.

"Bagaimanapun selepas memperoleh maklumat terbaharu, DBKL membuat keputusan untuk membenarkan dua bazar Ramadan ini beroperasi semula.

"DBKL tidak akan berkompromi kepada ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terbabit," katanya.

Menurutnya, DBKL mensyaratkan kepada pihak penganjur untuk bersama-sama memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, pada masa sama, DBKL masih menunggu keputusan terkini daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung operasi dua bazar Ramadan berkenaan.

"DBKL berharap agar semua pihak terutama pengunjung dan penjaja dapat memberikan kerjasama baik dalam memastikan pematuhan SOP di semua Bazar Ramadan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 12:20 PM