GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok berkata, bazar Ramadan akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kuala Terengganu (PPPKT).

Katanya, bazar Aidilfitri juga dibenarkan beroperasi tahun ini dan pemilihan pengurusan untuk mengendalikan bazar itu sedang dilakukan.

"Tender untuk pengurusan bazar Aidilfitri akan dibuka kepada syarikat yang berminat untuk mengendalikan bazar berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, lokasi untuk tapak bazar beroperasi sudah dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada jumlah kes penularan pandemik Covid-19.

"Kebenaran bagi membolehkan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini beroperasi sudah dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita merasakan dalam keadaan sekarang, terutama selepas kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi termasuk pasar raya dibenarkan beroperasi, sudah tiba masanya ia dibenarkan beroperasi," katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19, Shahidan berkata, kerajaan dan MKN sedang membuat kajian.

"SOP mungkin akan diperketatkan terutama membabitkan kedudukan gerai, masa perniagaan serta jumlah peniaga serta pengunjung mungkin akan dihadkan.

"Kita akan pastikan pembukaan dua bazar itu lebih kemas dan berkesan dengan pematuhan ketat penuh SOP bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 10:44 AM