GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 65 lokasi bazar Ramadan dijangka beroperasi di sekitar ibu kota, bermula 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, daripada jumlah lokasi itu, 63 diselia penganjur bazar Ramadan, manakala dua lagi iaitu di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri (berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) dan di Jalan 4/38 A Taman Sri Sinar, Segambut (Wisma Suhati) akan diselia DBKL sendiri.

"Pengunjung bazar Ramadan diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja, akan beroperasi semula di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 17 April hingga 12 Mei, setelah ditangguhkan pelaksanaannya tahun lalu susulan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 208 penjaja akan terlibat di lokasi bazar yang bermula dari belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India, bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

"Kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja Bazar Aidilfitri akan dipasang pagar di sepanjang jalan, bagi mengawal keluar/masuk pengunjung dan akan dikawal selia sepenuhnya DBKL," katanya.

Sehubungan itu, tapak tradisi pasar malam di Lorong TAR setiap Sabtu akan dipindahkan operasi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 17 April, 24 April, 1 Mei dan 8 Mei 2021.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula dari persimpangan Jalan Esfahan (selepas Sogo) sehingga ke persimpangan Jalan Melayu, akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada aktiviti pasar malam bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada tarikh berkenaan.

DBKL turut mengingatkan penganjur, peniaga, pekerja serta pengunjung bazar, untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mana-mana individu atau penganjur yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 kepada penganjur.

"Manakala tindakan penutupan gerai /Bazar Ramadan/Bazar Aidilfitri terbabit, boleh dilaksanakan DBKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:51 PM