ANTARA udang ketak yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
ANTARA udang ketak yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk 70 kilogram (kg) udang ketak tanpa permit bernilai RM8,400 di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim berkata, menerusi pemeriksaan pada 3 petang, kontena berkenaan didapati membawa bekalan jenis ikan dan udang dari Indonesia.

Beliau berkata, bekalan berkenaan dipercayai bagi pasaran tempatan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati 70 kg udang ketak bernilai RM8,400 di kontena berkenaan dibawa tanpa permit import.

Katanya, MAQIS bertindak merampas bekalan udang ketak berkenaan selain menyiasat ejen yang menguruskan penghantaran bekalan itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 9:08 AM