SEBAHAGIAN produk anyaman rotan yang dihasilkan oleh peserta PPKK Lusong Laku.
SEBAHAGIAN produk anyaman rotan yang dihasilkan oleh peserta PPKK Lusong Laku.
Muhamaad Razis Ismail


Kemas, kreatif dan menarik adalah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan keunikan produk anyaman rotan yang dihasilkan 25 etnik Penan Lusong Laku, Sarawak yang menyertai Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Anyaman Rotan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Kehalusan dan ketelitian hasil kerja tangan mereka dalam menghasilkan pelbagai produk anyaman rotan termasuk beg sumpit, beg sandang dan tikar sejak turun-temurun cukup disegani dalam kalangan komuniti dan peminat kraf tangan di Malaysia.

Biarpun tidak mempunyai pendidikan formal (anyaman rotan), masyarakat di Lusong Laku bijak memanfaatkan sumber alam semula jadi untuk menghasilkan pelbagai produk anyaman rotan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Jika sebelum ini, wanita etnik Penan lebih cenderung bergantung kepada suami dan menghasilkan produk kraf untuk dijual di kawasan berhampiran dengan hasil jualan yang tidak menentu, kini melalui PPKK, mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM1,600 sebulan.

Cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memasarkan produk kraf yang dihasilkan kerana kedudukan kampung yang terletak jauh di kawasan pedalaman.

Di atas kertas, laluan hanya membabitkan 30 kilometer untuk ke jalan besar, namun hakikatnya, perjalanan mencabar dan sukar dengan kenderaan pacuan empat roda mengambil masa empat jam.

Pengalaman memasuki kawasan pedalaman itu dilalui penulis dan rakan media yang menyertai Program Media Turun Padang di Sarawak bersama Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk 'Ainu Sham Ramli membabitkan perjalanan lapan jam dari Bintulu.

Menyedari cabaran itu, Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif turun padang membantu masyarakat etnik Penan di Lusong Laku untuk mengembangkan produk anyaman rotan, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui PPKK.

Peserta PPKK, Margarit Ringot, 30, berkata, bukan mudah menghasilkan produk anyaman rotan kerana banyak proses perlu dilakukan.

Katanya, rotan yang ditemui di hutan perlu melalui beberapa proses termasuk membuang kulit, dicuci, dikeringkan dan dipotong yang mengambil masa beberapa hari.

"Kemudian proses anyaman dijalankan. Biasanya saya mengambil masa sehari untuk menyiapkan beg.

"Produk paling lama untuk disiapkan adalah tikar yang mengambil masa antara dua sehingga tiga minggu kerana memerlukan rotan yang banyak selain proses yang agak rumit," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur selepas terpilih menyertai PPKK kerana banyak perkara baharu yang dipelajari termasuk rekaan baharu, pewarnaan dan teknik menganyam lebih efektif.

"Sebelum ini, saya belajar menganyam daripada ibu bapa dengan menggunakan teknik lama. Melalui bimbingan yang diberikan, saya dapat mengembangkan kemahiran dan teknik anyaman untuk menghasilkan produk kraf tangan yang lebih berkualiti," katanya.

Bagi Nyutai Awi, 45, pula, inisiatif yang diambil Kraftangan Malaysia dapat membantu penduduk khususnya wanita etnik Penan di Lusong Laku untuk menjana pendapatan melalui penghasilan produk anyaman rotan.

"Sebelum ini, kami banyak bergantung kepada hasil hutan dan aktiviti pemburuan kerana pendapatan melalui produk kraf tangan agak tidak menentu berikutan berdepan kesukaran untuk membawa keluar dan memasarkan produk di luar.

’AINU Sham (tiga dari kanan) melihat peserta PPKK menunjukkan demonstrasi menganyam rotan.
’AINU Sham (tiga dari kanan) melihat peserta PPKK menunjukkan demonstrasi menganyam rotan.

MENERUSI program PPKK, pelbagai produk berkualiti dapat dihasilkan.
MENERUSI program PPKK, pelbagai produk berkualiti dapat dihasilkan.

KETUA Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli (tengah) bersama sebahagian daripada peserta PPKK Lusong Laku.
KETUA Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli (tengah) bersama sebahagian daripada peserta PPKK Lusong Laku.

"Melalui bantuan Kraftangan Malaysia, produk yang dihasilkan boleh dibawa keluar dan dipasarkan sehingga Semenanjung, sekali gus dapat membantu penduduk di sini terutama wanita menjana pendapatan," katanya.

Sementara itu, 'Ainu Sham berkata, pihak Kraftangan Malaysia melaksanakan PPKK sejak 2020 sebagai usaha membantu golongan sasar dalam kalangan kaum suri dan belia yang tidak bekerja untuk menjana pendapatan.

"Melalui kemahiran kraf tangan ini, mereka dapat menjana pendapatan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

"Sehingga Mei lalu, kami sudah mewujudkan 140 PPKK di seluruh negara termasuk 14 PPKK di Sarawak," katanya.

Beliau berkata, di Lusong Laku, melalui projek naik taraf di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, pihaknya membina Rumah Kraf Tangan Lusong Laku pada 2022 untuk melaksanakan aktiviti menghasilkan dan mengumpul produk anyaman rotan.

"Kami turut melaksanakan PPKK membabitkan tiga fasa iaitu pendedahan asas menganyam rotan menggunakan acuan kayu diikuti kemahiran asas pewarnaan bilah rotan dan kemahiran lanjutan anyaman rotan iaitu teknik jalinan bilah rotan berwarna.

"Melalui program ini, kami dapat bantu tingkatkan kemahiran sedia ada yang dimiliki komuniti Lusong Laku dari segi konsistensi dan ketepatan ukuran dalam menghasilkan produk anyaman rotan yang lebih berkualiti, sekali gus dapat pelbagaikan produk kraf untuk memenuhi permintaan pasaran yang lebih luas," katanya.

Pada masa sama, 'Ainu Sham berkata, pihaknya menyedari kesukaran yang dihadapi penduduk untuk membawa keluar produk yang dihasilkan kerana perlu menempuh laluan jauh yang sukar.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif ke Lusong Laku membantu mengeluarkan produk anyaman rotan yang dihasilkan untuk dipasarkan di luar," katanya.

Jelasnya, biarpun semua peserta sudah menamatkan tiga fasa PPKK, bimbingan berterusan diberikan dari semasa ke semasa supaya mereka dapat menjadi usahawan kraf yang berjaya, berdaya tahan dan berdaya saing.

"Komuniti ini akan dibawa untuk melakukan simulasi perniagaan di festival dan program promosi fizikal anjuran Kraftangan Malaysia supaya mereka dapat memasarkan sendiri produk, sekali gus dapat meningkatkan kemahiran keusahawanan.

"Kami juga akan terus memberi bimbingan daripada segi pembangunan produk supaya lebih banyak produk anyaman rotan berkualiti yang menepati kehendak pasaran dapat dihasilkan.

"Kraftangan Malaysia turut melaksanakan inisiatif dalam pembangunan modal insan untuk melahirkan lebih ramai pelapis untuk meneruskan kelangsungan industri kraf tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 7:02 AM