KONTENA mengandungi daging kerbau sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
KONTENA mengandungi daging kerbau sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Johor menggagalkan cubaan membawa masuk 28 tan daging kerbau sejuk beku tanpa tulang bernilai RM293,842 dari India di Pelabuhan Johor di sini, semalam.

Pengarah Maqis Negeri Johor, Hizzuan Hasim berkata, ia susulan pemeriksaan dan penahanan sebuah kontena pada 5.40 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati nombor pada pengedap (seal) kontena tidak sama seperti dalam dokumen pengangkutan barang yang diikrar.

Menurutnya, kesemua daging kerbau seberat 28,008 kilogram (kg) berkenaan dirampas bagi tindakan lanjut.

Katanya, bekalan daging berkenaan dipercayai bagi pasaran tempatan.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan kepada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 1:06 PM