PELAKU jenayah siber juga menjadikan platform Telegram sebagai ruang utama untuk melakukan jenayah.
PELAKU jenayah siber juga menjadikan platform Telegram sebagai ruang utama untuk melakukan jenayah.
Muhammad Saufi Hassan


APLIKASI Telegram sememangnya menampilkan ciri-ciri privasi untuk pengguna, namun wujud kebimbangan yang jelas apabila peningkatan aktiviti jenayah siber menggunakan aplikasi itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Telegram menjadi hab jenayah siber bermula daripada penyebaran maklumat rahsia, pelaburan tidak wujud dan bermacam lagi jenayah siber.

Berdasarkan data Kecerdasan Jejak daripada firma keselamatan siber, Kaspersky mendedahkan bahawa jumlah siaran membabitkan pengedaran maklumat rahsia, dokumen palsu, serangan DDoS dan banyak lagi meningkat kepada 53 peratus untuk tempoh Mei hingga Jun lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan pemerhatian pakar keselamatan siber melihat bahawa pelaku jenayah siber sangat berminat dalam penggunaan aplikasi berkenaan kerana ciri-ciri privasi yang digunakan serta identiti pengguna yang tidak diselaraskan dengan nombor telefon.

Wujud juga pelaku mencipta komuniti sendiri di Telegram dan ia sangat mudah untuk dilakukan.

Penganalisis Jejak Digital Kaspersky, Alexey Bannikov berkata, faktor lain yang mendorong pelaku ini untuk berkumpul dalam platform berkenaan adalah Telegram memberikan kemudahan akses, identiti pengguna boleh ditukar tanpa perlu diselaraskan dengan nombor telefon atau sebagainya.

Menurutnya, penjenayah siber yang beroperasi di Telegram secara amnya menunjukkan kurang kecanggihan teknikal dan kepakaran berbanding dengan yang ditemui di forum 'Dark Web' yang lebih terhad dan khusus.

"Ini disebabkan halangan kemasukan yang rendah dalam komuniti bayangan Telegram, seseorang yang mempunyai tujuan jahat hanya perlu membuat akaun dan melanggan sumber jenayah yang boleh mereka temui kerana mereka sudah pun menjadi sebahagian daripada komuniti penjenayah ini.

"Tambahan pula, Telegram tidak mempunyai sistem reputasi yang serupa dengan yang ada di forum Dark Web, akibatnya ada banyak penipu di ruang penjenayah siber Telegram yang cenderung untuk menipu ahli komuniti mereka.

"Ada satu lagi trend iaitu Telegram muncul sebagai platform di mana pelbagai penggodam membuat kenyataan dan menyatakan pandangan mereka," katanya.

Beliau berkata, ini disebabkan pangkalan penggunanya yang luas dan pengedaran kandungan pantas melalui saluran Telegram, penggodam mendapati platform itu sebagai alat yang mudah untuk menghasut serangan DDoS dan kaedah gangguan lain terhadap infrastruktur yang disasarkan.

Menurutnya, mereka boleh mengeluarkan data yang dicuri daripada organisasi yang diserang ke dalam domain awam menggunakan saluran bayangan.

Ia sekali gus mewujudkan pandangan yang kritikal terhadap aplikasi Telegram dan penyedia aplikasi itu untuk mengubah terma privasi mereka, namun pakar menyatakan ia sukar untuk dicapai.

Terma privasi itu sudah menjadi sebahagian daripada identiti Telegram dan sukar untuk mengubah terma berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 7:00 AM