UDANG dari Iran ditahan di Tapak Pemeriksaan Kontena, Gudang CFS 2 Pelabuhan Klang Barat. FOTO Ihsan MAQIS
UDANG dari Iran ditahan di Tapak Pemeriksaan Kontena, Gudang CFS 2 Pelabuhan Klang Barat. FOTO Ihsan MAQIS
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan dan merampas 48 tan udang dari Iran di Tapak Pemeriksaan Kontena, Gudang CFS 2 Pelabuhan Klang Barat, di sini, Rabu lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan rutin oleh pihak MAQIS pada 12.30 tengahari itu mendapati dua kontena berkenaan membawa 4,000 kotak udang sejuk beku tanpa permit import yang sah.

"Siasatan mendapati, kontena yang membawa udang putih sejuk beku itu berada di pelabuhan sejak 8 April lalu dan dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan.

"Siasatan lanjut juga mendapati, udang terbabit dibawa masuk hanya untuk proses dibuang kulit sahaja dan akan dihantar ke negara asal sebaik selesai proses terbabit.

"Kesemua dagangan yang bernilai RM972,305.83 ditahan untuk tindakan lanjut oleh MAQIS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, MAQIS akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan untuk semua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

"Usaha ini bagi menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 10:30 AM