ANTARA kecederaan dialami oleh pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera oleh majikan serta rakan sekerjanya di sebuah rumah di Taman Rainbow, Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA kecederaan dialami oleh pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera oleh majikan serta rakan sekerjanya di sebuah rumah di Taman Rainbow, Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua wanita yang disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Rainbow, Sentul di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman melakukan serbuan pada 1.30 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia berusia 38 dan 42 tahun yang dipercayai mendera mangsa yang berusia 24 tahun.

"Kami turut merampas beberapa alat seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beh berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam pada beberapa bahagian badan mangsa iaitu muka, kepala, bahu, leher serta kaki yang dipercayai akibat dipukul majikan dan rakan sekerjanya yang juga pembantu rumah.

"Menurut mangsa, dia sudah bekerja di rumah majikan terbabit selama 16 bulan dan tidak dibayar gaji selama satu tahun.

"Mangsa dipercayai didera akibat daripada kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya sudah memohon perintah perlindungan interim (IPO) daripada mahkamah dan mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan wanita di sini.

"Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 24 April nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 dan 13 ATIPSOM 2007.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya sebaik ia dilengkapkan," katanya yang menasihati orang ramai supaya patuh undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

Katanya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar peraturan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dan salah laku boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 4:57 PM