GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Bukit Mertajam: Polis menahan pasangan suami isteri pada Ahad, yang disyaki mendera seorang pembantu rumah warga Myanmar berusia kira-kira 30-an yang diselamatkan polis di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di sini minggu lalu.

Khamis lalu media melaporkan majikan pembantu rumah itu ditahan kerana disyaki mendera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi hari ini berkata, Ahad lalu, polis menahan anak perempuan majikan berkenaan, yang berusia 35 tahun bersama suaminya, 36, disyaki turut terbabit dengan perbuatan itu.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan di rumah mereka di Taman Seri Bukit Indah, bagi membantu siasatan itu, dan difahamkan wanita itu mengambil pembantu rumah berkenaan menerusi ejen agensi pekerjaan untuk bekerja di rumah ibu bapanya.

"Namun pembantu rumah itu turut diarah untuk bekerja di kediaman wanita berkenaan dan berdasarkan keterangan daripada pembantu rumah itu, dia turut didera dan disimbah air panas serta dipukul oleh wanita itu.

"Kesan lebam di seluruh badan pembantu rumah itu adalah akibat dipukul," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, siasatan juga mendapati wanita yang bekerja sebagai pengarah sebuah syarikat swasta itu tidak membayar gaji warga Myanmar berkenaan sejak dia mula bekerja sekitar dua tahun lalu, dengan alasan wang berkenaan disimpan untuk dibayar ketika mahu pulang ke Myanmar.

Shafee berkata, pembantu rumah berusia 30-an itu sudah selesai menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dihantar ke rumah perlindungan di sini.

"Majikan warga Myanmar itu, yakni pasangan suami isteri yang berusia 50-an dan 60-an yang ditahan pada 24 Februari lalu masih direman, manakala anak perempuan mereka serta suaminya yang juga pengurus sebuah syarikat swasta turut direman selama enam hari bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007.

Dalam kejadian minggu lalu, polis ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan pembantu rumah yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah dan pemeriksaan awal terhadap fizikal wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:57 PM