Naharudeen menunjukkan berita palsu berkenaan penularan Covid-19 di SMK Guar Nangka, Arau yang tular di media sosial. FOTO AIZAT SHARIF
Naharudeen menunjukkan berita palsu berkenaan penularan Covid-19 di SMK Guar Nangka, Arau yang tular di media sosial. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Jabatan Pendidikan Perlis menafikan dakwaan sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka di Arau didapati positif Covid-19 seperti ditularkan dalam media sosial.

Pengarahnya Naharudeen Othman berkata, dakwaan tidak tepat berkenaan didapati tular sejak minggu lalu.

"Saya menyangkal dakwaan atau kenyataan berkenaan kerana tidak benar dan sebenarnya hanya seorang sahaja pelajar didapati positif Covid-19.

"Manakala rakan yang lain adalah negatif serta sedang berada dalam proses kuarantin di rumah masing-masing.

"Impak penyebaran berita palsu oleh individu tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kehadiran pelajar di SMK Guar Nangka serta sekolah berhampiran didapati merosot," katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Kangar, di sini, hari ini.

Ia adalah laporan polis kedua dibuat selepas pentadbiran SMK Guar Nangka turutu membuat laporan di Balai Polis Arau, semalam.

Katanya, pihaknya membuat laporan polis bagi menyangkal segala dakwaan yang disebarkan melalui media sosial itu.

"Kita mendapati ibu bapa di kawasan Guar Nangka kini takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan peratusan kedatangan juga merosot di mana hanya sekitar 30 hingga 35 peratus sahaja pelajar SMK Guar Nangka yang hadir.

"Saya juga memberi jaminan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar di SMK Guar Nangka supaya tidak perlu takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran.

"JPN sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi termasuk proses sanitasi, selain pemakaian pelitup muka, imbasan suhu serta penjarakan sosial," katanya.

Katanya, pelajar yang didapati positif Covid-19 itu tidak mempunyai simptom awal, malah disahkan tidak pernah merentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 2:23 PM