Nishanty Nantha Gopal (kiri) dan Amira Anisa bersama Nirosha hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Nishanty Nantha Gopal (kiri) dan Amira Anisa bersama Nirosha hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA remaja perempuan dari Rumah Kanak-Kanak Arau, Guar Nangka, Arau dilaporkan hilang apabila tidak pulang semula ke pusat jagaan itu selepas menjalani latihan rumah sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Arau semalam.

Mereka ialah dua beradik Nishanty Nantha Gopal dan Nirosha Nantha Gopal, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun berasal dari Tanjung Malim, Perak dan rakan mereka, Amira Anisa Aziman, 16, dari Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mereka didapati tidak pulang ke pusat itu selepas tamat latihan sukan di sekolah mereka di Arau pada jam 6.00 petang semalam.

“Pemandu di pusat jagaan itu tiba di sekolah untuk mengambil mereka bertiga namun tidak muncul di tempat kebiasaan pemandu menunggu mereka.

“Pemandu terbabit turut mencari ketiga-tiganya bersama pelajar lain di dalam sekolah dan kawasan berdekatan tetapi tidak menemui mereka,” katanya hari ini.

Menurut Nanda, kali terakhir mereka dilihat oleh pusat jagaan berkenaan adalah ketika menghantar mereka keluar dari pusat jagaan untuk ke sekolah bagi menghadiri latihan sukan di sekolah itu.

“Nishanty memakai t-shirt biru gelap lengan pendek dengan tertera perkataan ‘Polis’ di hadapan baju manakala adiknya bersama seorang lagi rakan mereka memakai t-shirt biru gelap berlengan pendek dipercayai baju sukan sekolah.

“Polis giat mencari mereka dan orang awam yang terlihat mereka boleh menghubungi Balai Polis Arau di talian 04-9861222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:42 PM