Adriena (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang STPM kepada ibunya dan bapanya, bekas pemain kebangsaan, Adrien Jurad Chamrong di SMK Putra, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Adriena (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang STPM kepada ibunya dan bapanya, bekas pemain kebangsaan, Adrien Jurad Chamrong di SMK Putra, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Disiplin sering diterapkan bapanya yang pernah menjadi wira pasukan bola sepak Perlis pada final Piala Malaysia 2004 sering dijadikan azimat buat Adriena Duthsanee Adrien Jurad, 20, menggapai kejayaan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak kepada pemain bola sepak Perlis, Adrien Jurad Chamrong terbabit dinobatkan antara 13 calon STPM cemerlang di Perlis dengan mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Adriena berkata, dia meneruskan pengajian di Tingkatan Enam demi mengejar cita-citanya menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

"Ayah banyak menjadikan saya seorang yang berdisiplin terutama dalam pelajaran. Selain itu saya mementingkan ketepatan masa di dalam kelas," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM Negeri Perlis Tahun 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, tadi.

Bekas pelajar SMK Syed Sirajuddin, Arau itu berkata, untuk pengajian dalam Tingkatan Enam, dia mengambil mata pelajaran Pengajian Perniagaan, Sejarah, Pengajian Am dan Bahasa Melayu.

"Bagi saya, mata pelajaran pengajian perniagaan agak rumit berikutan saya berasal dari aliran Sains Sosial.

"Saya memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melanjutkan pelajaran saya selepas ini.

Sementara itu, Perlis mencatatkan sejarah selepas tujuh daripada sembilan sekolah yang menawarkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi peringkat Kebangsaan iaitu 2.82.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, tujuh sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan, 3.26; SMK Syed Alwi, 3.11; SMK Putra, 3.02; SMK Derma, 2.89; SMK Tengku Suleiman, 2.86; SMK Agama Arau, 2.83 dan SMK Perlis,2.82.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:58 PM