PROGRAM secara maya yang diadakan dengan kerjasama PDRM.
PROGRAM secara maya yang diadakan dengan kerjasama PDRM.
Aizat Sharif


WALAUPUN negara ketika ini sedang berdepan dengan penularan pandemik Covid-19, bukanlah bermakna kejadian jenayah tidak berlaku.

Justeru, kesedaran masyarakat terutama pelajar penting bagi mengelakkan golongan ini terjebak dengan kegiatan jenayah terutama membabitkan najis dadah.

Baru-baru ini, seramai 120 peserta menghadiri program kesedaran pencegahan jenayah yang dinamakan Program 'Awareness' Siri 1: Program Pendidikan dan Pencegahan Dadah dan 'Awareness' Siri 2: Program Pendidikan Tentang Hukuman dan Pemulihan di Penjara platform dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.

Program berkenaan anjuran bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Mata Ayer dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Dato Sheikh Ahmad, Arau, SMK Dato Ali Ahmad, Kangar SMK Putra, Kangar, Perlis.

Ia dirasmikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis, Superitendan Mohd Zati Hamid. Selain turut membabitkan pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Saralah Devi Mariamdaran Chethiyar yang bertindak sebagai moderator program.

Dr Saralah mempunyai kepakaran dalam bidang koreksional dan pengasas forum Coffee and Chat (Coffee is YOURs and Chat is OURs) yang banyak membincangkan mengenai pencegahan serta pendidikan jenayah dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, program ini juga turut dikendalikan kaunselor pelatih dari Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden UUM serta sesi ceramah dilaksanakan penuntut Sarjana Sains Koreksional, SAPSP, UUM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya berkata, UUM akan terus aktif berkerjasama dengan agensi berkaitan dan masyarakat dalam memacu agenda berkaitan pembangunan dan pengukuhan jati diri anak muda negara khususnya serta rakyat amnya.

"Golongan pelajar adalah pemimpin masa depan yang bakal menerajui negara pada masa akan datang. Jadi, perjalanan mereka masih jauh dan berliku ditambah lagi dengan pelbagai cabaran baru yang muncul.

"Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik, mendedah dan menunjuk jalan yang benar dari semasa ke semasa untuk pembentukan masa depan terjamin," katanya.

Tujuan dan objektif program ini adalah sebagai pendedahan dan kesedaran awal kepada peserta mengenai kesan buruk dadah serta perbuatan jenayah terutamanya ketika musim pandemik Covid-19.

Selain itu, ia juga memberi pengetahuan secara umum mengenai jenis kesalahan berdasarkan kepada undang-undang yang dikuatkuasa di Malaysia dan proses keadilan yang menjurus kepada pemulihan pelaku jenayah itu.

Selain pelajar, program ini juga mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti polis dan orang awam.

Dalam siri 1 program ini, ia menyajikan peserta dengan pengenalan dadah, statistik dan undang-undang yang dikuatkuasa bagi menghadapi ancaman dadah.

Manakala Siri 2 pula lebih tertumpu kepada hukuman yang dikenakan kepada pelaku jenayah dan fasa yang dihadapi ketika berada di dalam pusat pemulihan.

Anjuran program sebegini diharap dapat menyuntik ilmu pengetahuan kepada pelajar secara khususnya bagi mewujudkan ketahanan diri ketika menghadapi cabaran yang pelbagai, ibarat vaksin yang memberi ketahanan dan kekebalan kepada penyakit mendatang.

Program kesedaran ini mampu membantu melatih lebih ramai golongan dalam penyebaran maklumat yang disampaikan untuk masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:41 AM