DUA bot bersama 12 pemancing ditahan kerana menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut di sekitar Pantai Pulau Aur di sini, semalam. FOTO ihsan JABATAN PERIKANAN
DUA bot bersama 12 pemancing ditahan kerana menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut di sekitar Pantai Pulau Aur di sini, semalam. FOTO ihsan JABATAN PERIKANAN
Omar Ahmad


Mersing: Dua bot Zon A bersama 12 pemancing tempatan ditahan kerana menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut Pulau Aur di sini, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, kedua bot itu ditahan hasil rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor.

Katanya, hasil siasatan serta pemeriksaan mendapati dua vesel penangkapan ikan zon A itu melakukan kesalahan di bawah seksyen 43, Akta Perikanan 1985 iaitu mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan taman laut.

"Vesel penangkap ikan yang pertama di tahan sekitar jam 3 pagi di 0.5 batu nautika dari Pantai Pulau Aur menyaksikan menahan seorang tekong berumur 62 tahun dan enam pemancing tempatan berumur 49 hingga 75 tahun ditahan.

"Manakala vesel kedua ditahan 0.6 batu nautika dari Pantai Pulau Aur yang membabitkan seorang tekong berusia 56 tahun, seorang awak-awak berumur 48 tahun dan enam pemancing berumur 34 sehingga 58 tahun.

"Vesel ini ditahan dan peralatan menangkap ikan akan disiasat di bawah seksyen 43 (1), Akta Perikanan 1985. Pihak Jabatan Perikanan Negeri Johor mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen. Taman Laut Johor yang diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Noraishah memaklumkan pihaknya menahan sebuah bot pukat tunda Zon C.

Katanya, bot itu ditahan bersama lima kru termasuk seorang tekong dalam rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur di 10.7 batu nautika daripada Pantai Tanjung Sekakap di sini, semalam.

"Selepas menjalankan pemeriksaan dan hasil siasatan terdapat empat awak-awak dan tekong warga tempatan berumur 31 hingga 51 tahun. Mreka ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak dibawah 12 batu nautika.

"Terdapat hasil tangkapan bernilai sekitar 80 kilogram seperti sotong dan ikan selar kuning turut disita.

"Vesel ini ditahan dan peralatan menangkap ikan akan disiasat di bawah seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 1:35 PM