Empat nelayan Vietnam ditahan bersama sebuah bot nelayan asing susulan dipercayai menangkap ikan secara haram, kira-kira 10 batu nautika daripada Pulau Aur, Mersing. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN MALAYSIA
Empat nelayan Vietnam ditahan bersama sebuah bot nelayan asing susulan dipercayai menangkap ikan secara haram, kira-kira 10 batu nautika daripada Pulau Aur, Mersing. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN MALAYSIA
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Mersing: Empat nelayan Vietnam ditahan dipercayai menangkap ikan secara haram kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Aur di sini, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim, berkata kejayaan susulan operasi bersepadu pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, berlaku adegan berkejaran hampir dua jam yang turut menyaksikan nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan cuba merosakkan kipas enjin bot pihak berkuasa.

"Ia mengambil masa hampir dua jam dengan gerakan taktikal untuk menahan sebuah bot nelayan asing apabila mereka menggunakan pelbagai tindakan agresif sebelum dapat ditahan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati vesel itu menangkap ikan di perairan negara tanpa dokumen yang sah dan mempunyai empat kru berusia 23 hingga 52 tahun-kira jam 4 pagi.

"Vesel ditahan termasuk peralatan menangkap ikan, selain kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nelayan dan orang awam diminta memberi kerjasama memaklumkan maklumat berkaitan pencerobohan supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Jabatan Perikanan Malaysia komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus memperkasakannya di perairan Johor bagi memastikan pengurusan sumber perikanan mampan dan berdaya saing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:00 PM