GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah bot tunda tempatan termasuk lima kru ditahan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak 9.8 batu nautika daripada Pantai Pulau Tioman, di Mersing, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, mereka yang ditahan membabitkan dua warga tempatan dan tiga warga Indonesia.

Katanya, penahanan itu hasil rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati sebuah vesel penangkapan ikan zon C yang mempunyai lima kru menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak sekitar 9.8 batu nautika daripada Pantai Pulau Tioman, sebelum bot serta kesemua kru ditahan.

"Hasil tangkapan bernilai tinggi seperti sotong dan ikan tenggiri turut disita.

"Vesel berkenaan dan peralatan menangkap ikan dirampas dan akan disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraishah berkata, Jabatan Perikanan Negeri Johor ingin mengingatkan nelayan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen supaya tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.

"Perbuatan melanggar syarat dalam lesen yang dikeluarkan terutama membabitkan penangkapan ikan dan vesel adalah menjadi kesalahan yang boleh diambil tindakan tegas.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikompaun dan peralatan menangkap ikan dirampas," katanya.

Menurutnya, Jabatan Perikanan sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di perairan Johor bagi memastikan pengurusan sumber perikanan dapat mampan dan berdaya saing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 11:39 AM