GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Bahana menangkap ikan di kawasan diwartakan iaitu di Taman Laut, dua bot zon B termasuk enam nelayan tempatan ditahan di perairan pantai Timur Johor di sini.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abdul Wahab berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Ops Penguatkuasaan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) di Kota Tinggi-Mersing) mulai 5 September hingga semalam.

Beliau berkata, hasil risikan dan pemantauan, penguat kuasa jabatan berkenaan menerusi unit perlindungan sumber, berjaya menahan bot berkenaan di 5.9 batu nautika dari Tanjung Penawar Kota Tinggi dan 1.64 batu nautika dari Pulau Aur Mersing di sini.

"Operasi dianggotai tujuh penguat kuasa menemukan bot pukat berkenaan jenis vesel pukat tunda zon B dan vesel pukat jerut ikan zon B sedang melakukan aktiviti menangkap ikan yang menyalahi Akta Perikanan 1985.

"Selain itu siasatan mendapati nakhoda mengendalikan bot itu bukan pemilik lesen. Ketika ditahan, mereka didapati baharu memulakan kegiatan penangkapan ikan di kedua-dua lokasi berkenaan.

"Seramai enam nelayan tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan dengan nilai anggaran sitaan bernilai RM700,000. Mereka diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan, Pangkalan Perlindungan Sumber Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya.

Zainudin berkata, nelayan diingatkan untuk sentiasa mematuhi syarat lesen termasuk tidak menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan Taman Laut termasuk di Mersing.

Menurutnya, Taman Laut Johor diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 11:44 AM