Empat vesel ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan di perairan di negeri ini. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
Empat vesel ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan di perairan di negeri ini. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Empat vesel bersama 18 kru ditahan di lokasi berasingan dalam perairan negeri ini selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan.

Tindakan dilakukan menerusi rondaan rutin dalam Program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) menerusi Unit Perlindungan Perikanan Johor di sekitar perairan Pelabuhan Johor, Kuala Sungai Masai dan Johor Timur.

Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Zainudin Abd Wahab berkata, vesel pertama yang dikendalikan tekong warga Indonesia dan tiga awak-awak senegara berusia 46 hingga 55 tahun ditahan di kedudukan 7.4 batu nautika dari Tanjung Balau kira-kira 10.59 malam tadi.

Menurutnya, vesel kedua pula ditahan di kedudukan 9.0 batu nautika dari Pantai Kelesa pada 12 tengah malam tadi dikendalikan tekong tempatan dan empat awak-awak warga Indonesia berusia 40 hingga 56 tahun.

Katanya, tekong tempatan dan empat awak-awak warga Indonesia berusia 40 hingga 56 tahun juga ditahan di kawasan vesel kedua kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

"Sebuah vesel lain ditahan di kedudukan 5.2 batu nautika dari Tanjung Kelesa bersama tekong berusia 67 tahun dan tiga awak-awak berusia 54 hingga 63 tahun kira-kira 6.40 pagi hari ini.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan, empat vesel berkenaan ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua vesel ditahan bersama peralatan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

"Kesemua tekong terbabit mengaku menyedari ia (perairan itu) adalah kawasan larangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:11 PM