Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Kami hanya berbuka puasa dalam keadaan gelap gelita dan jamah apa saja makanan selepas rumah dilanda ribut mengakibatkan banyak kerosakan."

Begitu kata suri rumah Zaniah Nordin, 52, salah seorang mangsa apabila 127 rumah terjejas akibat dilanda ribut di Kampung Tasek, di sini, Rabu lalu.

Ibu empat anak itu berkata, dia bersama suami dan anak-anak termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) sedang berehat sambil menunggu waktu berbuka puasa.

"Ketika itu dengar bunyi hujan lebat berserta angin kencang luar biasa dan saya ke dapur untuk menutup tingkap.

"Sebaik kembali ke ruang tamu, tiba-tiba saya melihat atap terangkat satu persatu diterbangkan angin.

"Saya dan suami hanya mampu memeluk kesemua anak dalam keadaan basah akibat ditimpa air hujan sambil melaungkan Allahuakbar sekuat hati," katanya.

Keadaan rumah Zaniah Nordin, 52, di Kampung Tasek di sini selepas dilanda ribut petang Rabu lalu. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Keadaan rumah Zaniah Nordin, 52, di Kampung Tasek di sini selepas dilanda ribut petang Rabu lalu. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Zaniah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga terjejas di Kampung Tasek, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas hujan mulai reda, mereka cuba mencari serpihan kayu 'plywood' untuk menutup lantai yang basah sebelum membentang tikar untuk menyediakan makanan berbuka puasa.

"Alhamdulillah, ada yang bersimpati dan jiran datang bagi makanan. Kami makan apa sahaja rezeki di hadapan mata untuk berbuka dalam keadaan gelap itu," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga sedih dengan nasib yang menimpa, namun reda dengan ujian dan ketentuan Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:40 PM