Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Sebenarnya kami akan memulakan penggambaran baharu sekuel Kampung Pisang hujung bulan ini," katanya Bell Ngasri.

Pelakon watak Barkoba dalam Telefilem 16, 17 dan 18 Puasa itu mengakui kehilangan Mamat Khalid itu yang begitu dirasai.

"Saya betul-betul tidak sangka (pemergian) tetapi Allah lebih sayang beliau. Saya rasa ralat kerana hampir saya berjumpa dengan beliau untuk penggambaran seterusnya," katanya.

Menurutnya, arwah juga pernah meluahkan hasrat untuk menyambung telefilem 16 dan 17 Puasa.

"Orang suka dengan watak Barkoba, orang suka watak saya dalam 16,17,18 Puasa.

"Arwah (Mamat Khalid) pernah bercerita yang dia hendak buat sehingga 19 dan 20 puasa tetapi selepas itu (dia pergi). Itu adalah antara kenangan saya dengan arwah," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka pengalaman berada di dalam set penggambaran rancangan memasak baru-baru ini adalah kenangan terakhir bersama Allahyarham.

"Dalam rancangan itu saya berlakon sendiri dengan dia sedangkan orang kenal dia sebagai seorang pengarah.

"Rupa-rupanya itu pengalaman terakhir saya bersama dengan arwah, saya sendiri tidak sangka dapat juga merasa sekali berlakon dengan dia kerana saya selalu bersama dengan dia sebagai seorang pengarah," katanya.

Katanya, pemergian Mamat Khalid juga satu kejutan dan pemergian besar dalam industri seni.

"Satu kejutan yang besar..saya rasa bukan setakat saya tetapi untuk semua, rasanya satu negara sangat minat dengan karakter beliau.

"Itulah..sayang kita kehilangan seorang insan seni yang cukup besar dan kita tahu kita sayangkan segala hasil seni dan filem beliau.

"Semoga apa sahaja yang beliau tinggalkan itu menjadi satu benda yang besar untuk industri seni negara kita," katanya.

BELL Ngasri ditemubual ketika ditemui menziarahi jenazah Allahyarham Mamat Khalid di kediaman di Taman Ipoh Jaya Timur 1. FOTO Balqis Jazimah Zahari
BELL Ngasri ditemubual ketika ditemui menziarahi jenazah Allahyarham Mamat Khalid di kediaman di Taman Ipoh Jaya Timur 1. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Terdahulu, Jenazah pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini, kira-kira 2.20 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:06 PM