Balqis Jazimah Zahari


"SAYA terkejut apabila melihat pusaran angin ibarat 'puting beliung kecil' di tengah bilik sebelum melihat banyak barangan pecah."

Begitu kata Salina Jusoh, 54, mangsa ribut di Pangsapuri Seri Kepayang, Jalan Hospital di Ipoh, pada 5.30 petang semalam

Salina berkata, kejadian berlaku ketika dia berseorangan di rumah dan mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Asar.

"Angin bertiup kencang dan saya mendengar bunyi berdentam-dentum sangat kuat dari arah bilik dan sebaik membuka pintu bilik mendapati pusaran angin.

"Dalam keadaan panik, saya menutup semula pintu bilik agar angin tidak menuju ke ruang tamu lalu menangis ketakutan dan terus menghubungi suami menyuruh pulang segera ke rumah," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kebanyakan persiapan untuk menyambut Aidilfitri musnah, selain siling turut pecah manakala bumbung pula tercabut.

"Memang tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu dan sehingga kini saya masih trauma membayangkan saat berkenaan.

NOOR Azmi (kanan) meninjau bumbung utama kediaman Mohd Sofian yang diterbangkan ribut, semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
NOOR Azmi (kanan) meninjau bumbung utama kediaman Mohd Sofian yang diterbangkan ribut, semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

"Sebahagian kuih raya dan kerepek yang dibuat rosak dimasuki air, manakala barang persiapan raya juga rosak. Memang hampa tetapi saya reda," katanya yang sudah lima tahun menetap di pangsapuri berkenaan.

Kejadian ribut disertai hujan lebat petang semalam mengakibatkan kediaman enam keluarga di tingkat 12 Blok A dan satu keluarga di Blok B di Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh, terjejas teruk.

Seorang lagi mangsa ribut, Bayu Lestari Sukisman, 43, berkata kebanyakan barangan rosak teruk, lantai berair dan rumah berbau kurang menyenangkan sekali gus menjadi pengalaman terburuk sejak 11 tahun menetap di situ.

Menurutnya, mereka juga terpaksa berbuka puasa di koridor rumah sementara menunggu bantuan dan berpindah ke dewan komuniti sementara di aras bawah pangsapuri.

"Dalam keadaan begini, memang kami tiada langsung berfikir untuk persiapan raya dan cuma mengharapkan bantuan," katanya yang sudah lebih dua bulan tidak bekerja sebagai pembantu kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang, Dr Ko Chung Sen yang melawat mangsa, berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan tunai segera RM500 kepada tujuh keluarga yang terkesan dengan ribut terbabit.

"Permohonan bantuan membaiki rumah mangsa juga sudah diusulkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan akan diuruskan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:53 PM