KEADAAN rumah Zulhamali yang terbakar. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN rumah Zulhamali yang terbakar. FOTO ihsan pembaca
Balqis Jazimah Zahari


"HABIS semua persiapan untuk menyambut hari raya hangus terbakar," kata Ketua Balai Polis Kampung Rapat, Inspektor Zulhamali Zakaria selepas keseluruhan tingkat atas rumahnya di Taman Seri Rapat di Ipoh terbakar malam kelmarin.

Zulhamili berkata, kebakaran itu mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan mereka sekeluarga kerugian hampir RM100,000.

"Saya memang sudah siap membeli pakaian raya untuk isteri dan anak-anak Ahad lalu.

"Bukan sahaja baju raya tetapi semua pakaian harian termasuk pakaian seragam saya dan isteri yang bekerja di hospital tidak dapat diselamatkan," katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah yang menyerahkan sumbangan bagi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di rumahnya di Ipoh, hari ini.

Mohamad Nordin (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada Zulhamali (lima kanan) selepas rumahnya terbakar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Mohamad Nordin (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada Zulhamali (lima kanan) selepas rumahnya terbakar. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Menceritakan kembali detik cemas itu, katanya, mereka yang baru sahaja berbuka puasa dikejutkan dengan jeritan anak sulungnya yang memaklumkan terdapat percikan api di tingkat atas sebelum keseluruhan rumah bergelap.

"Selalunya selepas berbuka puasa dan solat isteri dan anak-anak akan berehat di tingkat atas tetapi pada hari kejadian syukur semua mereka berada di bawah.

"Pada mulanya kami sedih tetapi semuanya tidak dijangka kami reda dan bersabar dengan perkara yang sudah terjadi," katanya

Bapa kepada anak berusia 4 hingga 16 tahun itu berkata, mereka sekeluarga baru masuk tinggal di rumah berkenaan beberapa bulan lalu.

"Kami terpaksa menginap di hotel berdekatan buat sementara waktu berikutan sudah tiada elektrik di rumah dan kebanyakan barang hangus terbakar.

"Saya kini sedang mencari rumah sewa terlebih dan pakaian untuk anak-anak," katanya.

Katanya, dia ketika ini masih belum dapat memulakan kerja dan akan masuk semula bertugas sebaik semua urusan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:37 PM