Jarell Cheong Tze Wen (kiri) dan Muhammad Hamdi.
Jarell Cheong Tze Wen (kiri) dan Muhammad Hamdi.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dua tahun lalu, mereka pernah bersuai kenal ketika mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini, mereka sekali lagi berkongsi kegembiraan apabila berjaya diterima masuk ke Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).

Itulah takdir indah dua anak muda ini yang mengharumkan nama Malaysia apabila bakal melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia itu, Ogos ini.

Menurut Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 20, walaupun tidak kenal rapat, namun dia dan Jarell Cheong Tze Wen,20, pernah bertukar nombor telefon dan berkenalan di PPD Kuala Lumpur, pada 2019.

"Saya bersyukur penat lelah selama ini berbaloi. Malah, tidak sangka saya dan Jarell dapat masuk universiti sama.

"Jadi, saya agak bersemangat kerana ada rakan senegara yang akan melanjutkan pengajian di tempat sama, malah kami bercadang akan berlepas ke AS bersama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia menganggap kejayaan melanjutkan pengajian ke universiti terbabit satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu digalas.

"Mula-mula dapat tahu berita ini melalui emel Januari lalu, saya rasa macam tak percaya tetapi apabila difikirkan semula, ia satu amanah dan tanggungjawab berat yang harus saya pikul.

"Saya tekad akan gunakan peluang ini untuk belajar dengan tekun dan menyumbang semula kepada masyarakat dan negara dalam bidang ekonomi.

"Saya harap pelajar di luar sana jangan cepat berputus asa dan tempuh apa jua cabaran dengan sabar kerana pada akhirnya nanti pasti ada lebih baik untuk kita," katanya yang menerima biasiswa daripada Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, bagi Jarell pula peluang melanjutkan pengajian di universiti terbabit akan digunakan sebaik mungkin untuk meraih impiannya dalam profesion kewangan.

"Sebenarnya saya juga diterima masuk ke universiti lain di AS dan United Kingdom, tetapi saya memilih Universiti Harvard kerana program di universiti itu sangat bagus dan mencabar.

"Bukan semua orang dapat masuk universiti ini, jadi saya akan gunakan peluang itu untuk cabar diri saya buat perkara paling susah.

"Walaupun sukar, saya akan cuba buat terbaik kerana universiti itu tempat terbaik untuk belajar Matematik," katanya.

Katanya, dia kini sedang mencari biasiswa bagi membiayai yuran pengajiannya selama empat tahun di universiti terbabit.

Muhammad Hamdi adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah dan kini mengambil A-Level di Kolej Tuanku Ja'afar, Mantin, Negeri Sembilan, manakala Jarell pula bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara.

Mereka berdua antara 1,968 pemohon bertuah dan berjaya melepasi kelayakan ketat daripada 57,435 permohonan seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 3:11 PM