Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Penat lelah saya selama ini membuahkan hasil selain usaha bersungguh-sungguh, doa dan restu ibu bapa turut mengiringi kejayaan ini," kata bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Mohamed Aqil Azmi, 20, yang terpilih melanjutkan pendidikan ke Kolej Harvard, Amerika Syarikat (AS).

Mohamed Aqil antara 20 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNB yang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn di Perdana Kuala Lumpur City Center, hari ini.

Menurutnya, peluang itu bagaikan durian runtuh baginya kerana mendapat tempat antara 1,980 pelajar kemasukan tahun 2020 ke kolej berkenaan daripada 40,248 permohonan.

"Sehingga kini, saya masih lagi teruja dan tidak menyangka saya diterima menjadi pelajar di salah sebuah universiti yang paling berprestij dunia.

"Peluang ini saya tidak akan sia-siakan kerana proses kemasukan adalah sangat sengit iaitu merangkumi kecemerlangan dalam bidang akademik, pemikiran yang matang dan penilaian ingin tahu intelektual," katanya yang sudah dua minggu menjalani kelas dalam talian dalam bidang Matematik dan Falsafah.

Dia yang berasal dari Shah Alam, Selangor bukan saja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan A-Level di Kolej Yayasan UEM, Bandar Baru Lembah Beringin, Selangor, malah jaguh dalam pentas perdebatan.

Katanya, permulaan perjalanan pengajiannya agak mengecewakan disebabkan tidak dapat mengambil pengalaman pertama suasana pengajian di luar negara berikutan pandemik Covid-19.

"Saya dijangka ke Harvard tahun depan, kelas sudah bermula dan saya akui agak mencabar untuk belajar secara dalam talian.

"Namun, saya bersyukur malah teruja menjadi penerima biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) pertama ditawarkan ke Harvard dan akan membalas jasa kepada tanah air dengan ilmu yang diperoleh setelah tamat belajar kelak," katanya.

Selain itu, penerima biasiswa sama, Amira A'lya Shaharim, 20, turut teruja bakal mengikuti pengajian Kejuruteraan Awam di Universiti Kolej London yang menjadi impiannya sejak dulu lagi.

"Saya percaya bidang kejuruteraan mempunyai prospek cerah untuk kerjaya masa depan.

"Walaupun bidang ini dipelopori oleh kaum lelaki, saya ingin membuktikan bahawa pelajar perempuan juga mampu menguasai bidang ini dengan baik, malah mungkin lebih bagus," katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Penerima, Mohamed Aqil Azmi di Majlis Pra Keberangkatan Penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB yang diadakan di Perdana Kuala Lumpur City Centre. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Penerima, Mohamed Aqil Azmi di Majlis Pra Keberangkatan Penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB yang diadakan di Perdana Kuala Lumpur City Centre. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Selain itu, PNB juga turut menawarkan biasiswa kepada tiga penerima dibawah Anugerah Biasiswa Perdana Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI).

Penerima biasiswa YTI, Muhammad Hilman Hanafi Harold Kefi, 20, yang bakal melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science (LSE) berkata, peluang ini cukup istimewa baginya.

Katanya, bidang pelaburan dan politik adalah minatnya serta berhasrat terbabit sama dalam pembikinan polisi kerajaan melalui kemahiran serta pengetahuan yang dipelajarinya di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 6:22 PM