Jarell Cheong Tze Wen (kiri) dan Muhammad Hamdi.
Jarell Cheong Tze Wen (kiri) dan Muhammad Hamdi.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen antara 50 anak Malaysia yang bertuah melakar sejarah negara apabila terpilih melanjutkan pengajian di Universiti Harvard.

Naib Presiden Kelab Harvard Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob berkata, sejak 1960 kira-kira 50 alumni Harvard College, Amerika Syarikat, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard direkodkan dari Malaysia.

Katanya, antara nama besar yang pernah melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dan terulung dunia itu termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Lin See Yan; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn; Pengasas BFM Media, Malek Ali; Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff serta ramai lagi tokoh terkenal tempatan lain.

"Kejayaan terbaru dua pelajar (Hamdi dan Jarell) sekali lagi melakar sejarah negara yang direkodkan sejak 1960 sekali gus menunjukkan anak Malaysia mampu bersaing setaraf pelajar lain dari serata dunia.

"Mereka yang dapat belajar di sini bertuah kerana Harvard diiktiraf antara universiti terbaik di dunia setaraf Oxford dan Cambridge dan sudah tentu graduan universiti ini menjadi rebutan dan pilihan majikan.

"Paling penting untuk memasuki ke universiti ini tidak semestinya belajar di sekolah swasta dan hanya dengan menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pun masih boleh memohon, malah pihak Universiti Harvard komited memastikan setiap penuntut yang diterima masuk ke sini mampu meneruskan pengajian dengan menjamin biasiswa dan bantuan kewangan," katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Norazhar Mohd Shah menyifatkan, bekas pelajar mereka, Muhammad Hamdi seorang yang sangat gigih dan versatil dalam menuntut ilmu dan pantas memahami serta menguasai pelbagai disiplin ilmu.

Katanya, walaupun sekolah terbabit hanya menawarkan aliran Sains Elektif seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, namun Hamdi menukar haluan kepada Ekonomi dan turut melakar kecemerlangan dalam bidang terbabit.

"Kami menumpang bangga dan gembira atas kejayaan Hamdi kerana bukan calang-calang pelajar mampu menempah masuk ke Universiti Harvard tanpa ada kesungguhan, kepintaran dan daya saing tinggi.

"Doa kita, Hamdi terus cemerlang di Harvard dalam pelbagai bidang dan berusaha gigih menguasai ilmu sebanyak mungkin serta aktif dengan pelbagai program untuk meluaskan pengalaman dan minda demi untuk bangsa dan negara kita.

"InsyaAllah berbekalkan ilmu dan pengalaman yang digarap di Universiti Harvard akan memberi pulangan besar ke arah kemajuan negara," katanya.

Berita berkaitan

'Saya pernah diuji bertimpa-timpa' - Muhammad Hamdi

'Tak sangka masuk Universiti Harvard bersama'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:49 PM