ZAD tidak menyangka permohonannya menyambung pengajian di Kolej Harvard diterima.
ZAD tidak menyangka permohonannya menyambung pengajian di Kolej Harvard diterima.
Oleh Redzuan Muharam


"SAYA bersyukur kerana terpilih dan teruja untuk belajar di bawah bimbingan profesor terkemuka dan kelompok individu pintar dari seluruh dunia," kata Mohamed Aqil Azmi.

Mohamed Aqil, 20, adalah salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang terpilih menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Kolej Harvard, Cambridge, Amerika Syarikat (AS) bagi sesi 2020-2024.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu terpilih mengikuti pengajian dalam jurusan Matematik dan Falsafah.

Berkongsi kisah di sebalik pencapaiannya itu, Mohamed Aqil yang menetap di Shah Alam, Selangor mengakui tidak menyangka permohonannya untuk menyambung pengajian di Kolej Harvard diterima.

"Saya ada menghantar permohonan menyambung pengajian di universiti lain, tetapi pilihan pertama adalah Kolej Harvard.

"Permohonan itu dihantar pada November tahun lalu dan rasa tidak percaya, tetapi gembira apabila menerima kiriman e-mel pada 12 Disember lalu memaklumkan terpilih sebagai penuntut.

"Ini kerana ramai yang menghantar permohonan, tetapi rezeki berpihak kepada saya, syukur Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohamed Aqil, dia sepatutnya mendaftar masuk di kampus pada 31 Ogos depan.

Bagaimanapun, belum ada kata putus daripada universiti sama ada pengajian diteruskan atau ditangguhkan kerana Covid-19.

"Sementara menunggu pemberitahuan daripada pihak kolej, saya cuba berhubung dengan penuntut Malaysia yang pernah dan kini menuntut di Kolej Harvard bagi mendapatkan gambaran mengenai suasana pembelajaran serta cara hidup sebagai persediaan sebelum menjejakkan kaki ke sana.

"Urusan permohonan visa belum dilakukan dan buat masa ini, saya hanya menghabiskan masa di rumah dengan keluarga, " katanya yang mendapat tajaan biasiswa oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2018.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Zad Chin Qi Qi, 20, turut ditawarkan menyambung pengajian ke Kolej Harvard di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan sains komputer dan pengajian sosial.

Menurut Zad, tawaran yang datang itu seperti mimpi jadi kenyataan kerana tidak meletakkan harapan yang tinggi biarpun memasang impian menyambung pengajian di kolej terkemuka berkenaan.

"Sehingga hari ini, saya masih rasa tidak percaya dipilih menjadi salah seorang daripada rakyat Malaysia yang diterima masuk ke Kolej Harvard.

"Ini kerana sejak di tingkatan empat lagi, saya sudah memasang impian menyambung pengajian di situ (Kolej Harvard) kerana reputasinya yang baik dan tertarik dengan ruang makannya selepas menonton filem Harry Potter.

MOHAMED Aqil (kanan) dan Zad terpilih menyambung pengajian ke Kolej Harvard.
MOHAMED Aqil (kanan) dan Zad terpilih menyambung pengajian ke Kolej Harvard.

"Namun, saya rasakan perkara itu adalah mustahil. Disebabkan terkejut, saya semak semula kiriman e-mel yang diterima pada 13 Disember laluhingga 20 kali," katanya ketika dihubungi.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, berdasarkan kiriman e-mel diterima, dia sepatutnya mendaftar masuk di kampus pada Ogos depan, tetapi belum menerima pengesahan daripada pihak pengurusan kolej sama ada pengajian ditangguhkan atau sebaliknya berikutan pandemik Covid-19.

Sementara menerima maklumat pemberitahuan itu, Zad mahu menghabiskan masa dengan keluarga.

Mengenai ucapan tahniah diterima, Zad berterima kasih kepada semua khasnya rakyat Malaysia walaupun mereka tidak mengenalinya secara peribadi.

"Saya rasa terharu dengan kiriman ucapan yang diterima. Saya bukan datang daripada keluarga senang dan diharap kisah saya memberi inspirasi kepada mereka yang mempunyai cita-cita untuk menyambung pengajian di Kolej Harvard atau di mana saja.

"Tiada yang mustahil untuk rakyat Malaysia melakukannya. Terima kasih juga kepada Yayasan Khazanah kerana tanpa pembiayaan diberi, belum tentu saya berpeluang ke sana," katanya yang berhasrat menceburi bidang realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) selepas tamat pengajian kelak.

Kelab Harvard Malaysia, menerusi satu kenyataan Khamis lalu memaklumkan Zad dan Mohamed Aqil akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi 2024 (sesi 2020-2024).

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada 2017.

MOHAMED Aqil menunjukkan kiriman e-mel tawaran diterima daripada Kolej Harvard.
MOHAMED Aqil menunjukkan kiriman e-mel tawaran diterima daripada Kolej Harvard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 8:10 AM