Gadis berdiri di tebing sungai dipercayai cuba membunuh diri untuk terjun ke Sungai Sinulihan, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Gadis berdiri di tebing sungai dipercayai cuba membunuh diri untuk terjun ke Sungai Sinulihan, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kehadiran sekumpulan remaja lelaki tanpa dirancang berhampiran Sungai Sinulihan, Inanam, di sini, berjaya menyelamatkan seorang gadis yang dipercayai cuba membunuh diri, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, dua dari lima remaja terbabit dikatakan terjun ke dalam sungai selepas menyedari remaja perempuan dipercayai berusia belasan tahun itu cuba terjun ke dalam sungai.

Difahamkan, gadis itu mendakwa dia tertekan dan cuba terjun ke dalam sungai berkenaan.

Seorang remaja lelaki yang menyelamatkan gadis terbabit, Donny Anton, 19, berkata, ketika kejadian dia dan empat lagi rakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari remaja perempuan terbabit cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai, dia dan seorang lagi rakannya terus berlari terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya.

"Saya dan rakan sempat menariknya keluar sungai sebelum terus membawanya kepada pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Remaja terbabit kemudiannya diserahkan kepada polis untuk ditenangkan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 6:51 PM