ANGGOTA bomba menenangkan mangsa yang cuba terjun dari bangunan pusat beli belah lima tingkat di Kluang. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menenangkan mangsa yang cuba terjun dari bangunan pusat beli belah lima tingkat di Kluang. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


KERANA disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja dan memutuskan hubungan dengan teman lelaki, remaja perempuan berusia 17 tahun cuba terjun dari bangunan pusat beli belah lima tingkat di Kluang, 6.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, remaja berkenaan berang dengan permintaan ibunya.

“Dia pelik ibunya ada menghubungi teman lelaki remaja itu sebelum kejadian. Bagaimanapun, lelaki itu enggan berkongsi perkara yang dibualkan dengan ibu gadis itu menyebabkan gadis itu bertambah berang.

“Menurut suspek, dia tidak berniat untuk membunuh diri, sebaliknya hanya bertujuan untuk mengugut teman lelakinya jika lelaki itu enggan berlaku jujur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ini adalah kali kedua suspek yang juga penganggur cuba membunuh diri di lokasi sama, yang mana sebelum ini, gadis itu menjerut lehernya menggunakan tali, namun diselamatkan oleh teman lelakinya dan abang angkatnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 4:39 PM