SWAFOTO dua sahabat sebelum mereka terjun ke dalam perigi (kanan) di Mumbai, India. FOTO CEN
SWAFOTO dua sahabat sebelum mereka terjun ke dalam perigi (kanan) di Mumbai, India. FOTO CEN
Agensi

Mumbai: Dua remaja perempuan mengambil swafoto yang dijadikan gambar profil WhatsApp masing-masing sebelum terjun ke dalam perigi untuk membunuh diri.

Mayat dua gadis berusia 17 tahun yang identiti mereka tidak didedahkan, ditemui di lokasi yang terkenal sebagai tempat untuk membunuh diri di Mumbai, India.

Daily Mail memetik polis berkata, dua remaja terbabit mengambil swafoto berhampiran perigi itu sejurus sebelum kematian mereka.

Telefon pintar, gelang kaki dan kasut mereka ditemui berhampiran perigi itu seterusnya dianggap bukti oleh polis bahawa mereka memang berpakat mati lemas bersama.

Keluarga mereka yang terkejut dengan kejadian itu berkata, kedua-duanya tidak langsung menunjukkan tanda mengalami kemurungan atau mahu membunuh diri.

Bapa seorang daripadanya berkata, anaknya baru-baru ini memintanya membeli baju yang dilihat di televisyen.

“Saya memang sudah membelikannya, malah akan sampai dalam beberapa hari namun anak saya tiada lagi untuk memakainya,” katanya.

Seorang lagi bapa memberitahu Indian Express: “Persahabatan apakah ini? Seseorang berkata marilah kita terjun perigi dan rakannya terus mengikut?

“Ketika detik akhir mereka pun, kedua-duanya berpakaian sama.”

Polis sedang memeriksa telefon bimbit dua sahabat itu untuk mengetahui motif mereka, namun semua perbualan WhatsApp mereka sudah dipadam.

Seorang gadis berkenaan memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, baru-baru ini, atas alasan dia sedang berpacar lelaki lain dan polis tidak menafikan ia mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian.

Ia dipercayai kejadian bunuh diri keempat di situ dalam tempoh dua tahun.

Times of India melaporkan, dua rakan itu anak petani yang tinggal berdekatan. Seorang daripadanya masih bersekolah manakala rakannya bekerja sebagai tukang jahit.

Mereka dipercayai menghubungi rakan lelaki sebelum terjun ke dalam perigi itu. Rakan mereka segera menelefon seorang abang mangsa yang terus bergegas ke situ namun tidak sempat menyelamatkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:00 AM