IDRIS (dua kanan) melihat penunggang motorsikal ekzos bising yang dikesan dalam Ops Ekzos Bising. FOTO Ahmad Ismail
IDRIS (dua kanan) melihat penunggang motorsikal ekzos bising yang dikesan dalam Ops Ekzos Bising. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


Tangkak: "Ekzos bising ni boleh jaga keselamatan bapa saya, tuan... pasal tu saya pasang ekzos ni," kata penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Ekzos Bising di sini, semalam.

Pemuda berusia 20 tahun itu merayu tidak dikenakan saman akibat ekzos bising di motosikal milik bapanya berusia 70an itu.

"Motosikal ini saya kongsi pakai dan waktu bapa menggunakannya bunyi ekzos bising mampu menyedarkan kenderaan lain kehadirannya bagi mengelakkannya dari dilanggar.... Saya yang memasang ekzos bising di motorsikal milik bapa itu. Bapa tidak menyedarinya kerana pendengarannya kurang sedikit sejak beberapa tahun lalu," alasan lelaki itu.

Bagaimanapun, alasan tidak munasabah itu tidak dilayan, sebaliknya polis mengeluarkan saman dan meminta dia menggantikan ekzos itu dengan ekzos yang diluluskan.

Timbalan Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, polis mengeluarkan 240 saman kesemuanya termasuk 33 saman kerana kesalahan ekzos bising sekitar daerah Tangkak mulai 1 March sehingga hari ini.

Menurutnya, kesalahan lainnya tiada lesen memandu kenderaan, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, lesen tamat tempoh dan tidak dilindungi insuran, letak kenderaan salah, cermin sisi dan ubahsuai struktur kenderaan, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Idris berkata, 33 motosikal yang ditahan itu turut disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tangkak (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang dijalankan selama 24 jam itu melibatkan beberapa lokasi sekitar Tangkak antaranya di Sawah Ring, bandar Tangkak dan Bukit Gambir.

"Operasi itu turut membabitkan ajensi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muar dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Bahru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 5:38 PM