ANTARA motosikal yang disita dalam Operasi Khas Ekzos Bising di sekitar Hulu Terengganu. FOTO ihsan POLIS
ANTARA motosikal yang disita dalam Operasi Khas Ekzos Bising di sekitar Hulu Terengganu. FOTO ihsan POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu giat mengesan individu yang melakukan ubah suai melampau terhadap kenderaan terutama bahagian ekzos hingga mendatangkan pencemaran bunyi.

Terbaharu dalam Operasi Khas Ekzos Bising di sekitar Hulu Terengganu, semalam 59 saman dikeluarkan termasuk 10 kerana kesalahan ubah suai ekzos.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, pihaknya menjalankan operasi berterusan untuk mengekang kegiatan itu yang kebanyakan dilakukan penunggang motosikal.

"Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend pada masa kini kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan dan mencantikkan motosikal.

"Kita pandang serius isu ini dan mana-mana pemilik motosikal, kereta atau kenderaan bermotor dinasihatkan memasang semula ekzos asal bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Operasi ini akan diteruskan sehingga negeri ini bebas daripada gangguan bunyi ekzos bising yang mengganggu ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, dalam operasi semalam, 10 kenderaan yang mengubah suai ekzos disita dengan tindakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana individu yang didapati bersalah membuat pengubahsuaian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:01 PM