PRESIDEN Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan (dua, kiri) ketika acara menaikkan bendera 'Sang Saka Bangsa' pada perasmian persidangan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini. FOTO Bernama
PRESIDEN Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan (dua, kiri) ketika acara menaikkan bendera 'Sang Saka Bangsa' pada perasmian persidangan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemimpin Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera meletakkan jawatan.

Pengerusi Lembaga Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, selain itu pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lantikan PN juga perlu melepaskan jawatan mereka.

Menurutnya, tindakan itu adalah selari dengan keputusan parti yang memutuskan kerjasama dengan kerajaan PN.

"Sekarang mereka sepatutnya menarik diri daripada jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC jika mengikut kepada keputusan parti seperti dalam Ucapan Dasar Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebentar tadi.

"Jika tidak (letak jawatan), bererti mereka tidak bersama kita. Ini keputusan parti," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya individu terbabit enggan melepaskan jawatan masing-masing, maka pihaknya akan meminta Presiden parti mengambil tindakan lanjut.

Ditanya sama ada ahli Pas dalam kerajaan PN turut perlu menarik diri daripada parti itu, beliau berkata, jika Pas bersama Umno maka mereka harus berbuat demikian.

"Terpulang kepada Pas, jika mereka bersikap bersama dalam Muafakat Nasional jadi mesti asingkan diri daripada PN," katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara solo dan yakin boleh memenangi pilihan raya itu dengan sokongan ahli akar umbi serta rakyat.

Katanya, jentera sudah bersiap siaga dan memulakan gerak kerja di peringkat bawah, malah berdasarkan pemerhatian penerimaan rakyat kepada BN positif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 1:34 PM