MOHAMAD pada sidang media selepas merasmikan acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 hari ini. FOTO Bernama
MOHAMAD pada sidang media selepas merasmikan acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dilaksanakan sebaik pandemik Covid-19 bertambah baik.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan rakyat memilih dan Umno mendapat semula mandat.

Menurutnya, jawatan Perdana Menteri mesti menjadi milik Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menerajui parti induk orang Melayu sejak lebih 60 tahun lalu.

"Jawatan Perdana Menteri mesti jadi milik Umno dan BN. Kita sudah biasa jadi induk dan induknya menyayangi semua, bukan Melayu saja kita jaga tapi semua kaum.

"Sebagai contoh kalau ada sembilan anak, kita sayangi semua. Peranan kita sudah terbukti selama 60 tahun dan kita berjaya walaupun ada sedikit pembaikan kita kena buat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sayap sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya belum memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 akan datang.

Katanya, buat masa ini BN akan bertanding atas tiket sendiri dan membuka rundingan dengan mana-mana pihak yang berhasrat menyertai BN.

Beliau berkata, Umno akan mengukuhkan kerjasama dengan Pas, tetapi terpulang kepada parti itu untuk bersama dengan BN atau sebaliknya dalam PRU-15.

"Kita sedia berunding dengan Pas dan rundingan pun sedang berjalan. Saya kata dulu, kita mesti menang sekurang-kurangnya 80 kerusi, maka kita kena bertanding lebih iaitu 96 kerusi.

"Kalau kita boleh bekerjasama dengan Pas, kita akan rundingkan. Kalau tidak kita akan bertanding lebih lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 11:25 AM