Sidang media Saarani selepas program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia. FOTO L. MANIMARAN
Sidang media Saarani selepas program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia. FOTO L. MANIMARAN
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Umno Perak sebulat suara mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal sebagai Presiden Umno dalam pada banyak pihak melihat beliau perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu berdasarkan mesyuarat perhubungan Umno negeri yang berlangsung semalam, dengan ia didasari beberapa hujah seperti tiada ahli dari parti lain dilihat tegas mendesak presiden parti masing-masing untuk meletak jawatan di sebalik kekalahan sebelum ini.

"Hujahnya berpuluh tahun DAP sebelum ini tidak memenangi pilihan raya tetapi tiada pun orang DAP desak Lim Kit Siang letak jawatan. Berpuluh tahun lamanya PAS tak menang pilihan raya malah kalah berkali kali namun tiada pula orang menuntut supaya Presiden PAS letak jawatan.

"Semasa BN menang PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini, pada masa itu PAS, PKR, DAP kalah namun semasa itu tiada siapa pun suruh Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Tan Sri Muhyiddin (Presiden Bersatu) letak jawatan.

"Dan yang paling cantiknya, berdasarkan semakan saya baru-baru ini, 18 kerusi yang ditandingi Perikatan Nasional (PN) hilang deposit namun tiada calon Umno hilang deposit. Jadi mengapa tiada orang menuntut Pengerusi PN letak jawatan," katanya kepada media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Katanya lagi, keputusan itu juga didasari bahawa tiada satu jaminan bahawa jika Ahmad Zahid meletak jawatan, maka ahli PAS akan menyokong Umno dan begitu juga tiada jaminan bahawa Bersatu akan dibubarkan untuk membolehkan ahli parti itu menyertai Umno.

"Jadi kita tak akan menari ikut gendang mereka. Nasihat saya kepada orang-orang Umno, tak perlu menarik ikut gendang orang luar Umno memandangkan kalau kita tengok yang mendesak sebegini antaranya adalah orang yang bukan lagi di dalam Umno seperti Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

"Jadi orang-orang yang sudah keluar Umno, tumpukan sajalah kepada parti baharu yang disertai dan jangan kacau Umno. Saya pun pelik bila sebab mereka yang sudah keluar daripada Umno ini sibuk komen pasal Umno. Adakah itu dikatakan benci tapi rindu," katanya.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak menyifatkan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria, sebagai seorang yang 'nakal' apabila dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa PN mahu menghulurkan tangan kepada Umno bagi membentuk kerajaan di Perak pasca PRN enam negeri.

Saarani berkata, kenyataan sedemikian bagaimanapun tidak mengganggu kestabilan kerajaan negeri yang dibentuk atas perpaduan PH serta Barisan Nasional (BN), memandangkan keputusan PRN enam negeri yang lalu tidak menunjukkan PN menyapu bersih kemenangan.

"Ini percubaan nakal Ketua Pembangkang Perak yang juga sahabat saya. Kita harus ingat, keputusan PRN tiada kaitan langsung dengan Perak, bahkan Persekutuan. Lagipun PN bukannya menang 6-0 namun hanya mempertahankan kedudukan sedia ada," katanya.

Saarani dalam pada itu memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan Perak kekal stabil dan kukuh malah tidak akan berlaku sebarang situasi lompat parti di negeri ini.

"Saya beri jaminan kerana semalam, saya sudah jumpa semua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan esok petang pula saya akan jumpa semua Adun Kerajaan Perpaduan Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 4:32 PM