- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Petaling Jaya: Padah mengugut untuk membunuh ibu kandung kerana mahukan wang untuk membeli minuman keras, seorang penganggur dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rahmat Abdullah, 44, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap ibu kandungnya berusia 73 tahun dengan mengugut untuk membunuh wanita itu di sebuah rumah di Persiaran Surian, Pelangi Damansara, di sini pada 9 malam, 21 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian dia sedang mabuk selain menghidap penyakit usus berlubang akibat terlalu banyak meminum minuman keras.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta wang daripada ibunya untuk membeli minuman keras dan mengugut untuk membunuh warga emas itu menggunakan sebilah pisau lipat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:16 PM