SEMUA lapan lelaki di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan engkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Mohd Khidir Zakaria
SEMUA lapan lelaki di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan engkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

LAPAN lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, atas pertuduhan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengakuan itu dibuat lapan tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dua daripada lapan tertuduh turut didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan.

Semua tertuduh adalah buruh kasar A Selvam, 45, penyelia ladang M Gunatibhan, 35, pemandu lori P Surian, 42, pemandu lori M Loganathan, 48, pemandu bas R Murugan, 49, serta tiga penganggur iaitu R Balan, 55; R Nehru, 49, dan R Thilipkumaran, 31.

Mereka didakwa berkumpul di sebuah premis di ladang pada 7.15 malam 20 April dan didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Peraturan 25(1)(n) PPN 1990.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat hari dari tarikh tangkap dan denda RM800 setiap seorang dan 14 hari penjara jika gagal membayar denda dan semua tertuduh membayar denda itu.

Manakala Loganathan dan Nehru turut mengaku bersalah kerana gagal menunjukkan kad pengenalan mengikut Perkara 25(1)(n) PPN 1990 dan dijatuhkan hukuman denda RM800 setiap seorang atau penjara satu bulan.

Kedua-dua tertuduh membayar denda RM800 setiap seorang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:57 PM