TINJAUAN keadaan semasa lokasi kejadian kren gantri yang jatuh meragut tiga nyawa di tapak pembinaan lebuh raya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN keadaan semasa lokasi kejadian kren gantri yang jatuh meragut tiga nyawa di tapak pembinaan lebuh raya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memulakan siasatan terperinci terhadap insiden kren gantri jatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Persiaran Alam Damai, di sini, pada 22 Mac lalu.

Ketua Pengarah JKKP Ir Zailee Dollah berkata, tapak insiden sudah diserahkan kepada pihaknya selepas kerja mengeluarkan mayat mangsa terakhir selesai awal pagi tadi.

"Pasukan dari Bahagian Forensik JKKP dan JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan memulakan siasatan insiden berkenaan.

"Setakat ini laluan di kawasan itu masih ditutup kepada orang ramai berikutan ada keperluan siasatan untuk membawa turun kren terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil pengurusan tertinggi, pihak pemaju dan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan insiden berkenaan.

"Dapatan siasatan ini akan diperolehi selepas semua siasatan dari semua sudut selesai," katanya.

Pada 22 Mac lalu, Harian Metro melaporkan tiga mangsa warga China maut apabila kren gantri di lebuhraya berkenaan jatuh

Dalam insiden jam 8.45 pagi itu, lima buruh asing dan seorang lelaki warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta Perodua Bezza, Low Zy Jing, 33, yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 3:45 PM