KERJA-kerja mengeluarkan mangsa terakhir masih berjalan. FOTO Hazreen Mohamad
KERJA-kerja mengeluarkan mangsa terakhir masih berjalan. FOTO Hazreen Mohamad
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jika ada unsur kecuaian, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam insiden komponen kren gantri jatuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Klang Expressway (SUKE) sehingga mengorbankan tiga nyawa semalam.

Ketua Pengarah JKKP, Ir Zailee Dollah berkata, buat masa ini lokasi kejadian belum diserahkan kepada pihaknya untuk melaksanakan siasatan menyeluruh.

"Lapangan itu masih belum diserahkan kepada JKKP sebab kerja mengeluarkan mangsa yang terakhir masih lagi berjalan.

"Sebaik saja mangsa dikeluarkan, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Siasatan akan dijalankan oleh bahagian forensik kita," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, keutamaan adalah mengenalpasti punca kemalangan berlaku.

Buat masa ini, katanya, JKKP cuma mengumpul maklumat awal seperti pelan reka bentuk serta perkara berkaitan.

"Kita harap dapat akses yang lebih baik nanti untuk mulakan buat siasatan di lapangan.

"Memang kita sudah turun di lapangan tetapi tidak boleh buat banyak perkara," katanya.

Ditanya berkenaan siasatan awal sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam pembinaan itu, katanya ia masih dalam siasatan.

"Jika siasatan kita mendapati sebarang kecuaian, kita takkan kompromi dengan keadaan ini.

"Kita akan ambil tindakan yang berlandaskan undang-undang," katanya.

Berita berkaitan:

  • SUKE diminta periksa semua komponen kren gantri, rasuk
  • Komponen kren terjatuh: Kebajikan mangsa, keluarga diberi perhatian
  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat - Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan - PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 8:37 PM