KERJA-kerja mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan. FOTO Hazreen Mohamad
KERJA-kerja mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Proses mengeluarkan mayat terakhir pekerja asing yang terhimpit di antara struktur besi akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, di sini, dijangka selesai tengah malam ini.

Ketua Operasi Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azuwan Ibrahim berkata, kerja penstabilan 'U beam' yang dijalankan oleh pihak kontraktor di lokasi sejak semalam sudah selesai.

"Kerja-kerja menurunkan dua 'winch' (takal) kini sedang dijalankan dan proses itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga jam.

"Sebaik kerja menurunkan 'winch' selesai, kami akan meneruskan dengan proses mengeluarkan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam satu kenyataan berasingan, beliau memaklumkan kerja penstabilan 'U beam' dengan menggunakan 'I-Beam Support' dilakukan sebelum melakukan angkatan pada komponen kren gantri yang menghempap mangsa menggunakan kren bergerak.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa menghadapi kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri," katanya.

Terdahulu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memaklumkan identiti tiga mangsa warga China yang maut sudah dikenal pasti.

Mereka dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

Dalam insiden jam 8.45 pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera di leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Berita berkaitan:

  • SUKE diminta periksa semua komponen kren gantri, rasuk
  • Komponen kren terjatuh: Kebajikan mangsa, keluarga diberi perhatian
  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat - Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan - PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 10:49 PM