Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akan memastikan kebajikan mangsa serta keluarga yang terbabit dalam insiden komponen kren gantri jatuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang Expressway (SUKE) semalam diberikan perhatian sewajarnya.

Prolintas dalam kenyataan berkata, ketika ini siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam mengenal pasti punca kejadian sebenar.

Katanya, sebarang tindakan susulan yang bakal diambil bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.

"Ahli pengurusan dan Lembaga Pengarah Kumpulan Prolintas memandang serius mengenai isu keselamatan awam dan pekerja-pekerja di tapak pembinaan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit jika didapati sebarang elemen kecuaian selepas siasatan dijalankan," katanya.

Prolintas berkata, pasukan projek SUKE, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), pasukan bomba, polis serta jurutera perunding sedang bertungkus-lumus memastikan proses menyelamat, pengalihan dan pembaikan di tapak kejadian dijalankan dengan sempurna dan selamat.

"Proses yang rumit ini akan mengambil masa demi memastikan aspek-aspek keselamatan dipenuhi dan kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul," katanya.

Sementara itu, Prolintas menjelaskan pihaknya mengalu-alukan komen, pandangan dan kritikan pelbagai pihak berkaitan insiden yang berlaku sebelum ini dan semalam.

"Bagaimanapun, sebarang komen yang berunsur hasutan, serangan peribadi dengan penggunaan bahasa yang kurang sopan serta mencela ketika ini tidak akan membantu keadaan dan amatlah dikesali," katanya.

Dalam kejadian 8.45 pagi semalam, tiga pekerja binaan berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng maut.

KERJA-kerja mengeluarkan mangsa terakhir  dalam insiden komponen kren gantri jatuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE. FOTO Hazreen Mohamad
KERJA-kerja mengeluarkan mangsa terakhir dalam insiden komponen kren gantri jatuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE. FOTO Hazreen Mohamad

Dua mangsa maut dipercayai jatuh dari ketinggian 120 kaki (36.5 meter) manakala mayat seorang lagi masih terhimpit di antara struktur binaan.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Low Zy Jing, 33, yang memandu Perodua Bezza dilapor cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan itu.

Berita berkaitan:

  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat - Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan - PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:31 PM