Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah pada Program TNB-Ceria Ke Sekolah sambil diperhatikan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuantan. FOTO  Asrol Awang
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah pada Program TNB-Ceria Ke Sekolah sambil diperhatikan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Walaupun kekurangan penuntut, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin tidak akan ditutup, kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1,400 penuntut tahun satu hingga empat di universiti berkenaan.

Menurutnya, universiti berkenaan boleh menempatkan 4,000 penuntut.

"Bagi meningkatkan jumlah penuntut, Yayasan Pahang (YP), Yayasan Tenaga Nasional, Yayasan Canselor Uniten dan program wakaf akan bekerjasama untuk meningkatkan pendaftaran pelajar baharu pada tahun ini dan seterusnya.

"Peningkatan jumlah penuntut bukan sahaja untuk kebaikan kampus tetapi masyarakat di situ yang mana mereka yang berniaga dapat menambah pendapatan bila ibu bapa datang bertemu anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program TNB-Ceria Ke Sekolah yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan RosdyWan Ismail di sini, hari ini.

Pada Oktober 2019, Kerajaan Pahang membantah penutupan Uniten KSHAS kerana sejak dibuka pada 2001 hingga 2015, universiti itu sudah mendidik seramai 4,300 penuntut.

Mengulas Program TNB-Ceria Ke Sekolah, beliau berkata, ia antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang dilaksanakan tahun ini.

"Pada Januari lalu, TNB menyumbang RM250,000 kepada Kerajaan Pahang bagi membantu mangsa banjir di negeri itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:59 PM